Kes tembak, tetak di Sendayan ada unsur kongsi gelap

Kes tembak, tetak di Sendayan ada unsur kongsi gelap

ALZAFNY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Polis tidak menolak kemungkinan pembabitan kumpulan kongsi gelap dalam kes tembak dan tetak seorang lelaki dalam kejadian di Sendayan, Seremban, 19 November lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, setakat ini empat suspek telah ditahan berkaitan kes tersebut dengan keempat-empatnya masih direman

“Empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun ditahan dalam dua siri tangkapan pada 21 dan 22 November dan kesemuanya direman bagi membantu siasatan.

“Kami juga sudah merakamkan percakapan 10 saksi dan operasi untuk mengesan suspek lain masih diteruskan. Mangsa dan suspek masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau termasuk samun, kekerasan dan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani PDRM di Kampung Parit Seberang, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang maut ditembak di depan sebuah restoran di Sendayan mempunyai 42 rekod jenayah.

Alzafny dalam pada itu menafikan Negeri Sembilan berada dalam keadaan tidak selamat seperti didakwa oleh beberapa pihak, susulan insiden tersebut serta beberapa jenayah lain.

Beliau berkata, berdasarkan rekod jenayah indeks di negeri ini, terdapat penurunan sebanyak 147 kes atau 7.92 peratus pada tahun ini.

“Statistik dari Januari hingga Oktober tahun ini merekodkan 1,709 kes berbanding 1,856 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Jenayah harta benda juga menurun kepada 1,402 kes berbanding 1,473 kes dalam tempoh sama tahun lalu, manakala jenayah kekerasan turut menunjukkan penurunan daripada 383 kes kepada 307 kes,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN