Lapan syarikat bas, lori digantung lesen di Melaka

Lapan syarikat bas, lori digantung lesen di Melaka

SITI Zarina Mohd. Yusop menunjukkan kenderaan yang dilelong pada Program Lelongan Awam Kenderaan Lucut Hak Bilangan 2/2025 yang diadakan Ibu Pejabat JPJ di Bukit Katil, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tindakan tegas diambil terhadap lapan syarikat pengendali bas dan lori di negeri ini apabila lesen pengendali masing-masing digantung selepas gagal mematuhi syarat keselamatan ditetapkan dalam Sistem Audit dan Pemeriksaan Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) (JISA) tahun ini.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, tindakan itu dilaksanakan di bawah Seksyen 230 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) hasil penguatkuasaan dan pengauditan oleh Unit Pemeriksaan dan Kawalan Kenderaan Perdagangan JPJ.

“Daripada 73 syarikat yang diaudit, sebanyak 45 syarikat didapati gagal audit manakala 28 syarikat lulus. 

“Lapan daripadanya telah dikenakan tindakan gantung lesen pengendali bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus dilindungi,” katanya selepas Program Lelongan Awam Kenderaan Lucut Hak Bilangan 2/2025 yang diadakan Ibu Pejabat JPJ di Bukit Katil di sini, hari ini. 

Siti Zarina berkata, audit JISA dilaksanakan melalui empat kategori iaitu audit kemalangan jalan raya, audit berkala dan bersasar, audit susulan atau pasca tindakan serta audit aduan.

“Syarikat pengendali diwajibkan mematuhi tujuh perkara mandatori seperti melantik pegawai keselamatan dan memasang sistem kedudukan sejagat (GPS) pada semua kenderaan. 

“Selain itu, pemanduan tidak boleh melebihi lapan jam sehari dan setiap empat jam pemanduan wajib ada rehat minimum 30 minit,” katanya. 

Sementara itu, lelongan awam kenderaan lucut yang diadakan mencatatkan kutipan hasil RM103,489 melibatkan 52 kenderaan dengan penyertaan 54 pembida. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN