ALOR SETAR: Taktik enam warga Bangladesh berpakaian korporat lengkap bersut untuk memasuki Malaysia tidak menjadi apabila mereka dikesan bukan pelancong tulen oleh pihak berkuasa di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, hari ini.
Lima daripada mereka dilihat memakai sut hitam manakala seorang wanita mengenakan sari, bagi mengaburi mata pihak berkuasa seolah-olah datang atas urusan rasmi. Namun, hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal memenuhi syarat kemasukan dan disyaki mempunyai tujuan lain.
Komander Agensi Kawalan Penguatkuasaan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, mereka terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an hingga 50-an.
“Tindakan penolakan masuk dilaksanakan selepas semakan mendapati warga Bangladesh tidak dibenarkan masuk melalui jalan darat ke Malaysia, termasuk di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam,” katanya.
Kesemua individu terbabit diarahkan berpatah balik ke negara asal menggunakan laluan masuk yang sama.
Dalam operasi berasingan, AKPS turut menggagalkan cubaan membawa masuk 60 kilogram biji kopi tanpa permit import sah yang disembunyikan di bahagian belakang sebuah kenderaan.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,600. Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan AKPS dalam memastikan keselamatan serta kawalan sempadan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti penyeludupan,” katanya. – UTUSAN








