ALOR SETAR: Seramai 26 individu daripada empat negara diarahkan berpatah balik ketika mahu memasuki negara ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, dekat sini.
Daripada jumlah itu, 13 orang terdiri wanita Thailand dan seorang lelaki warga negara itu, manakala tujuh lelaki India dan empat wanita Laos serta seorang wanita Vietnam turut tidak dibenarkan masuk.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, mereka ditolak masuk mengikut peruntukan Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63.
“Sebanyak 26 Notis Penolakan Masuk (NPM) dikeluarkan terhadap warganegara asing yang disyaki bukan pelancong tulen kerana tidak memenuhi syarat kemasukan sebagai pelawat ke Malaysia.
“Semua individu telah diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd. Nasaruddin berkata, tiada rampasan dilakukan dan tiada elemen jenayah atau siasatan penguatkuasaan dikenal pasti dalam kes berkenaan.
Sebelum ini, AKPS mendedahkan taktik sebilangan warga asing yang disyaki menjadikan pintu masuk Malaysia-Thailand, di Bukit Kayu Hitam sebagai lokasi transit sebelum masuk semula ke negara ini yang dikenali dengan istilah ‘pelancong u-turn’.
Ini berikutan, tindakan penguatkuasaan yang ditingkatkan agensi itu di pintu masuk utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyebabkan warga asing yang bukan pelancong tulen itu dipercayai beralih ke utara negara. – UTUSAN










