KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ‘berselindung’ di bangunan tiga tingkat lot kedai di Ulu Klang di sini hari ini.
Hasil serbuan kira-kira pukul 12.15 tengah malam tadi itu mendapati terdapat proses pengubah suaian di tingkat dua dan tiga bangunan terbabit dengan menempatkan sekitar tujuh hingga lapan bilik kecil kepada warga asing.
Difahamkan, warga asing terbabit tinggal menyewa bilik terbabit dengan bayaran sewa pada kadar RM200 ke RM400 selain perlu berkongsi tandas di tingkat yang sama.
Malah, ada yang menjadikan ruangan di tingkat terbabit sebagai asrama pekerja asing yang dipercayai bekerja sebagai pengawal keselamatan serta sektor pembersihan.
Bagi menyukarkan tindakan pemeriksaan dijalankan JIM, hostel terbabit dikesan mengunci pintu dari luar kononnya tiada penghuni di dalam.
Namun selepas alat pengunci itu dipotong pemeriksaan lanjut menemui warga asing yang sedang bersembunyi.
Lelaki Indonesia yang ditahan dikenali Rafie Subianto, 20-an berkata, dia membayar sewa bulanan kira-kira RM250 dan terpaksa tidur bersama seorang rakan senegara di bilik kecil berkenaan.
“Terpaksalah tinggal di sini, saya mahu pulang ke kampung tetapi tak ada wang. Saya sedang kumpul wang dan mahu pulang ke Indonesia,” katanya yang mendakwa masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial pada 2022 dan bekerja sebagai buruh binaan setakat awal Oktober lepas.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 39 individu terdiri daripada 10 tempatan dan 29 warga asing diperiksa.
“Hasil pemeriksaan telah menahan 24 PATI termasuk 11 wanita disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan tiada dokumen sah.
“PATI yang ditahan terdiri daripada 18 Indonesia, seorang Bangladesh serta lima Nepal,” katanya. – UTUSAN










