PORT DICKSON: Seorang pemandu bas pekerja ditahan kerana tidak mempunyai lesen memandu dan terlibat dalam kemalangan maut di sini pagi tadi.
Nahas pada pukul 5.30 pagi membabitkan sebuah kereta dan bas pekerja itu berlaku di persimpangan lampu isyarat Dataran Segar di sini itu menyebabkan seorang suri rumah berusia 69 tahun meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah bas pekerja yang datang dari arah Port Dickson menuju ke Seremban telah bertembung dengan sebuah kereta yang bergerak dari arah Dataran Segar menghala ke Kuala Lukut.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu kereta seorang wanita mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon kecemasan Hospital Port Dickson.
“Pemandu bas berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Selain itu, hasil semakan mendapati pemandu bas tersebut tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya hari ini.
Ujar Maslan lagi, ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas didapati negatif dadah dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian sedang diperoleh untuk membantu siasatan.
Menurutnya, pemandu bas kini ditahan serta disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya. – UTUSAN










