Tiga termasuk pegawai kanan DBKL disambung reman sehingga esok

Tiga termasuk pegawai kanan DBKL disambung reman sehingga esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga individu termasuk seorang pegawai kanan gred Jusa B Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disambung reman sehingga esok bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah perolehan projek IT. 

Menurut sumber, tempoh reman ketiga-tiga suspek yang tamat semalam dilanjutkan sehingga esok bagi membantu siasatan kes berkenaan. 

“Setakat ini seramai 10 individu dirakam percakapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes rasuah terbabit. 

“Reman ketiga-tiga individu selama empat hari yang tamat semalam dilanjutkan sehingga esok bagi SPRM menjalankan lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Rabu lalu, media melaporkan siasatan SPRM kini menjurus kepada urusan pembelian hartanah membabitkan seorang pegawai kanan DBKL yang direman empat hari pada 26 Ogos lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, individu berkenaan merupakan pegawai gred Jusa B yang menduduki jawatan tertinggi di bawah pejabat Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Pegawai terbabit antara pengarah kanan di bawah pejabat Datuk Bandar.

“Sebahagian siasatan SPRM kini melibatkan pembelian hartanah terutamanya sebuah kondominium yang dikaitkan dengannya,” katanya.  

26 Ogos lalu, media melaporkan tiga individu iaitu seorang pegawai kanan DBKL, pemilik syarikat dan seorang orang awam direman semalam empat hari kerana terlibat dalam kegiatan rasuah dipercayai sejak 11 tahun lalu.

Ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit rasuah sejak 2014, yang mana suspek berjawatan pemilik syarikat itu dipercayai membayar rasuah kepada pegawai PBT berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan projek di agensi itu.

SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM150,000, empat peranti telekomunikasi, dua unit kenderaan jenis Lexus RX500h serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermès dan Louis Vuitton.

Sebanyak 19 akaun perbankan milik individu serta syarikat membabitkan nilai lebih RM7 juta turut dibekukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN