Sorok kes rasuah, punca barah dalam pasukan

Sorok kes rasuah, punca barah dalam pasukan

AYOB Khan Mydin Pitchay berucap pada Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap di DBP, Kuala Lumpur. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes rasuah dalam sesuatu agensi tidak perlu disorokkan kerana ia akan menjadi barah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira pangkat, kerana perbuatan segelintir pegawai dan anggota yang terlibat dengan kegiatan rasuah mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tidak dinafikan ada polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pun ada.

“Jika terlibat, kita ambil tindakan, ini yang cemar imej polis. Majoriti polis buat kerja bagus berkhidmat untuk masyarakat dan segelintir kecil terlibat rasuah, ini perlu ditangani secara tuntas.

“Itu jadi punca mengapa isu rasuah tidak habis dan semakin membarah. Kalau saya kesan, pertama saya serahkan kepada SPRM jika kes besar, kedua buka kertas siasatan dan ketiga buka tatatertib,” katanya selepas Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Makan Suap di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, malam tadi.

Dalam majlis itu, Ayob Khan turut menerima Anugerah Tokoh Integriti Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) Malaysia atas ketegasan dan usahanya membasmi rasuah dalam PDRM.

Beliau berkata, ramai pegawai dan anggota telah diambil tindakan semasa beliau menjawat jawatan Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Kalau ada pegawai terlibat saya ambil tindakan. Banyak pegawai, anggota yang diambil tindakan tuduh di mahkamah dan dibuang kerja.

“Di Johor semasa saya Ketua Polis Johor, ada pegawai dan anggota diambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). Di JSJN ada pegawai berpangkat superintenden, asisten superintenden dan inspektor dikenakan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×