PONTIAN: Polis Daerah Pontian mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian bendera Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah klinik pergigian di Pusat Perdagangan Pontian yang menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan masyarakat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintendan Abd. Hamid Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati pemasangan bendera dilakukan tanpa niat untuk menghina atau tidak menghormati simbol kebangsaan itu.
Katanya, sebaliknya berpunca dari kecuaian pihak yang memasangnya dan pihak premis telah tampil memberikan kerjasama sepenuhnya, tindakan segera telah diambil bagi membetulkan kedudukan bendera tersebut.
“Kes disiasat di bawah seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (mencegah pengunaan tidak wajar) 1963 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1956,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Sebelum ini tular di media sosial, sehelai Jalur Gemilang yang dipasang pada tingkap atas bangunan dua tingkat melibatkan sebuah premis dipasang secara terbalik bersebelahan dengan bendera negeri Johor di Pusat Perdagangan Pontian, disini.
Insiden itu menimbulkan sedikit kekecohan apabila beberapa orang awam dipercayai marah dengan kejadian itu.
Bagaimanapun, keadaan terkawal susulan beberapa anggota dari Balai Polis Pontian serta penguat kuasa daripada Majlis Perbandaran Pontian (MPP) hadir bagi memantau keadaan.
Seramai empat individu ditahan bagi membantu siasatan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah premis perniagaan di Pusat Perdagangan Pontian, disini, semalam.
MPPn dalam kenyataan berkata, wakil pekerja klinik pergigian swasta yang ditahan melibatkan tiga wanita dan seorang lelaki tempatan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk siasatan lanjut.
Premis melakukan kesalahan di bawah UUK 45, Pengibaran Bendera, Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDP) 2019. – UTUSAN