PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan peniaga supaya tidak sembarangan menaikkan harga barang keperluan asas atau mencatut stok susulan semakan Cukai Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, bagi mencegah peniaga melakukan perbuatan tersebut, KPDN telah melaksanakan Op Kesan 4.0 ke atas 375 premis di seluruh negara.
“Lebih 1,000 jenis barangan dikecualikan SST masih tertakluk kepada pemantauan.
“Pemeriksaan dilaksanakan menyeluruh terhadap keseluruhan rantaian perdagangan termasuk pengilang, pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai membuat pemeriksaan di sebuah premis pemborong di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, di sini, hari ini.
Menurutnya, barangan yang wajar dikenakan SST hanya membabitkan barangan yang dikeluarkan atau diimport selepas 1 Julai.
Beliau berkata, dalam konteks cukai jualan pula, hanya pengilang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta pengimport barangan bercukai yang terlibat dalam kutipan cukai.
“Tindakan susulan penguatkuasaan yang akan dilaksanakan terhadap sebarang maklumat pergerakan harga barang dan caj perkhidmatan akan melibatkan penelitian kepada empat elemen seperti berikut.
“Antaranya, senarai barang dan bentuk perkhidmatan; perniagaan dan syarikat berdaftar; tempoh pergerakan harga dan caj; margin pergerakan dan pencatutan.
“Setiap perniagaan dan syarikat adalah dinasihati untuk mengambil kira kesemua empat elemen sebelum melakukan sebarang pergerakan harga barangan atau caj perkhidmatan,” katanya.
Mengulas mengenai Ops Kesan 4.0, Shamsul Nizam berkata, pihaknya menerima 17 aduan setakat ini dan memeriksa 1,698 jenis produk atau unit simpan stok (SKU) di 375 premis seluruh negara.
Katanya, dalam operasi itu KPDN turut mengeluarkan enam notis hadir mengikut Seksyen 21 Akta 723. – UTUSAN