KLUANG: Perbuatan terkutuk seorang pekerja syarikat telekomunikasi merogol anak saudara perempuannya di Taman Matahari di sini pada dua tahun lalu terbongkar selepas mangsa membuat pengakuan kepada polis, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, hasil siasatan mendapati suspek berusia 37 tahun itu merupakan bapa saudara mangsa yang kini berusia 17 tahun.
Katanya, perbuatan terkutuk tersebut berlaku ketika mangsa berusia 15 tahun di rumah suspek pukul 3 petang pada tahun 2023.
“Hasil rakaman percakapan mangsa menyatakan telah dirogol suspek dua tahun lepas semasa bermalam di rumah suspek.
“Suspek ada merogol mangsa semasa tidur dalam bilik di rumahnya. Mangsa tidak pernah ceritakan kepada keluarga kerana takut sehingga baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.
Bahrin berkata, kes terbongkar apabila suspek ada menghubungi mangsa pukul 7 pagi, pada 24 Jun lalu menerusi aplikasi Whatsapp semasa remaja berkenaan berada di sekolah.
Katanya, suspek sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak meminta mangsa memberikan hadiah sempena hari lahirnya tetapi dia enggan kerana tidak mempunyai wang.
“Sebaliknya suspek cakap ada ‘hadiah’ yang tidak perlu keluarkan wang. Mangsa faham iaitu suspek mahu mengajak mangsa tidur bersama-sama,” katanya.
Menurut Bahrin, mangsa kemudian membuat laporan polis pada minggu lalu sebelum lelaki diberkas di kediamannya kelmarin.
“Siasatan mendapati suspek tiada rekod lampau dan ujian air kencing negatif. Pemeriksaan mangsa di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom mengesahkan terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan.
“Kes disiasat bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan lelaki kini direman selama lima hari bermula semalam selepas mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Kluang,” katanya. – UTUSAN