PENDANG: Tiada yang diinginkan oleh sepasang suami isteri melainkan melihat anak kecil mereka yang kini menderita penyakit kanser yang menyebabkan kerosakan hatinya, dapat pulih seperti biasa.
Namun, semua itu seakan-akan mustahil seandainya, Muhammad Arash Zulkarnain Mohamad Fariz Najdi, 3, gagal menjalani pembedahan pemindahan hati di Renji Hospital, Shanghai, China yang memerlukan perbelanjaan sebanyak RM185,000.
Ibu kanak-kanak itu, Nor Syatirah Zairenor, 31, berkata, dana yang terkumpul setakat ini cuma RM2,000 walaupun pembedahan itu dijadualkan pada Januari depan.
“Hanya pembedahan ini sahaja mampu selamatkan nyawa Arash. Doktor sarankan agar dia dibedah secepat mungkin atau nyawanya dalam bahaya. Saya akan menjadi penderma hati untuk Arash.
“Setakat ini saya dan suami berusaha sedaya upaya mencari dana untuk pembedahan ini. Kami akan melakukan apa sahaja agar Arash pulih seperti sediakala dan membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Sena, di sini semalam.
Nor Syatirah berkata, anaknya itu membesar dengan normal dan aktif sebelum mendapat simptom penyakit itu ketika berusia setahun enam bulan apabila matanya kelihatan kekuningan.
“Doktor nasihatkan kami melakukan pemindahan hati di China atau Malaysia. Namun jika dilakukan di Malaysia, peluang hidup sekitar 50-50, manakala di China kadar kejayaan mencecah 90 peratus,” katanya.
Sementara itu, bapanya, Mohamad Fariz Najdi Mahamad Subri, 31, berkata, dia telah kehilngan kerja sebagai jurutera selepas terpaksa berpindah dari Melaka ke Kedah bulan lepas.
“Sekarang kami sara hidup dengan sedikit simpanan yang ada selain berusaha memohon bantuan dari mana-mana agensi,” katanya.
Sumbangan orang ramai boleh dibuat melalui akaun Maybank, 1521 2541 5356 atas nama Mohamad Fariz Najdi atau menerusi akaun Bank Rakyat 1102 31 0504 (rujukan: Adik Arash LT) Pertubuhan Biliary Atresia Malaysia (Bama) selain boleh menghubungi Mohamad Fariz di nombor 010-3984638.-UTUSAN.










