BACHOK: Seorang petani yang mempunyai lima anak berstatus orang kurang upaya (OKU) menarik nafas lega apabila kesukaran menukar kad pengenalan lama kepada MyKad milik dua anaknya itu dapat selesaikan selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turun padang ke rumahnya di Kampung Gong Tungai, Gunong di sini, semalam.
Mohd. Noor Mohd. Zain, 70, bersama isterinya, Siti Mariam Hassan, 67, sebelum ini tidak dapat membawa anak ketiga, Mohd. Zaimi, 48, yang merupakan OKU masalah pembelajaran kerana sentiasa tidak selesa berpakaian dan anak keempat, Mohd. Zulkifli, 29, yang mengalami kemurungan selain menghidap sakit saraf.
Katanya, lima daripada lapan anaknya merupakan pemegang kad OKU, namun dia tidak pernah memohon sebarang bantuan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk anak-anaknya kerana tidak mengetahui saluran yang tepat.
Dia bersyukur apabila JPN datang ke rumahnya untuk membantu segala urusan membuat MyKad Mohd. Zaimi dan Mohd. Zulkifli menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).
“Mohd. Zaimi masih memegang kad pengenalan lama meskipun kerajaan sudah memperkenal MyKad sejak lebih 20 tahun lalu manakala Mohd. Zulkifli pula tidak memperbaharui dokumen itu selepas berusia 18 tahun.
“Kakitangan JPN datang ke rumah kami untuk mengambil gambar, memproses maklumat dan memujuk kedua-dua anak saya sehingga mereka memiliki MyKad,” katanya selepas Majlis Penyerahan MyKad Mekar oleh Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias di rumahnya di Kampung Gong Tungai.
Mohd. Noor berkata, tiga lagi anaknya yang merupakan OKU kecacatan fizikal pernah mendapatkan perkhidmatan sama apabila JPN hadir ke rumahnya untuk membuat dokumen.
Sementara itu, Badrul Hisham berkata, Mekar adalah inisiatif berterusan JPN bagi memastikan semua warganegara yang layak menerima dokumen pengenalan diri tanpa perlu hadir ke pejabat.
Katanya, pendekatan bersua muka dan turun padang itu adalah perkhidmatan JPN kepada golongan OKU, pesakit terlantar, penduduk pedalaman dan mereka yang berdepan masalah pengangkutan.
“MyKad merupakan kunci kepada semua inisiatif kerajaan. Jika tiada MyKad, individu itu terputus daripada hak dan manfaat yang sepatutnya diterima.
“JPN telah melaksanakan lebih 3,300 program menerusi Mekar di seluruh negara melibatkan hampir 100,000 pemohon sepanjang tahun ini. Lebih 240 program dilaksanakan di Kelantan sekali gus merupakan antara negeri tertinggi pelaksanaan Mekar,” katanya.










