JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mengambil tindakan terhadap pemilik tanah di kawasan kebakaran stor penyimpanan lori serta minyak enjin di Taman Perindustrian Kota Puteri di sini, yang membenarkan lima kilang beroperasi tanpa lesen.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad berkata, pihaknya telah mengesan pelanggaran undang-undang tanah, alam sekitar, keselamatan, pelesenan dan pengurusan sisa.
Menurutnya, hanya sebuah kilang di dalam kawasan berkeluasan 1,000 meter persegi itu mempunyai lesen iaitu premis penyimpanan minyak kelapa sawit yang dikeluarkan MBJB dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Di sini, saya ingin menegaskan bahawa semua premis perusahaan perlulah mendapat kebenaran dari agensi-agensi berkaitan sebelum melaksanakan sesuatu bentuk perniagaan atau perusahaan.
“Kegagalan untuk mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan bukan sahaja boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, malah turut mengundang pelbagai risiko keselamatan nyawa dan harta.
“MBJB dan agensi berkaitan tidak teragak-agak untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas bagi mengelakkan insiden seumpama ini berlaku lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini hari ini.
Dalam kebakaran pada 21 Jun lalu, sebanyak lima kilang dan 15 kenderaan musnah.
Mohd. Haffiz memberitahu, pihaknya akan menyelaraskan kerja kutipan pembersihan serta penyelenggaraan sisa minyak di saliran dan longkang utama.
“Sisa minyak disimpan di stor penguatkuasaan di Mount Austin sementara menunggu lokasi fasiliti pembuangan yang ditetapkan pihak JAS,” katanya.
Pihaknya juga akan menggerakkan pasukan petugas untuk menjalankan operasi pemutihan bagi mengesan kilang yang beroperasi secara haram atau tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan dari aspek pengurusan sisa dan pembangunan. – UTUSAN