Kastam rampas 240 guni bijih timah bernilai RM1.9 juta

Kastam rampas 240 guni bijih timah bernilai RM1.9 juta

Bijih timah
MOHAMAD Azhar Ahmad Paharazi menunjukkan biji timah yang dirampas pada sidang akhbar depat Wisma Kastam Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan seorang pemandu lori selepas didapati memanipulasi borang ikrar Kastam melibatkan 240 guni bijih timah bernilai RM1.9 juta di Pulau Indah, di sini, baru-baru ini.

Tindakan tersebut dikesan selepas borang tersebut disyaki palsu dengan menyatakan tarikh pengisytiharan barangan dibuat pada bulan Ogos ini.

Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata pemeriksaan pada 3 Julai lalu membawa kepada penahanan kesemua barang komoditi itu dan sitaan dua buah lori lima tan tujuh tan metrik di hadapan sebuah kilang.

“Hasil pemeriksaan kemudiannya menemui komoditi dagangan sebanyak 240 guni bijih timah. Siasatan mendapati pemandu lori telah mengemukakan Borang Kastam 1 yang disyaki palsu dengan tarikh pengikraran dinyatakan bulan Ogos ini.

“Ia jelas menunjukkan mereka melakukan advance borang ikrar berkenaan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Jelasnya, bijih timah tersebut dipercayai berasal dari negara ini, namun modus operandinya masih dalam siasatan.

“Ia termasuk bijih timah lokasi penghantaran bijih timah, tujuan dan kegunaannya. Ini adalah rampasan pertama melibatkan bijih timah dan kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1) Akta Kastam 1967 iaitu memalsukan dokumen pengikraran,” ujarnya.

Selain itu, dalam operasi berasingan, Mohamad Azhar memaklumkan, JKDM Selangor turut merampas 62 gelung keluli seberat 221.7 tan kerana diimport tanpa permit di kawasan bebas Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada 4 Jun lalu.

“Barangan dagangan bernilai RM1.28 juta diperoleh hasil penahanan lapan buah kontena. Pengimport telah membuat ikrar palsu terhadap barangan itu sebagai perabot dan tilam.

“Barangan itu dipercayai dari salah sebuah negara di Asia untuk kegunaan industri di negara ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN