KLANG: Penduduk yang tinggal dalam jajaran 150 meter Seksyen 3 Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dekat Kampung Jawa, di sini diberikan lanjutan tempoh untuk berpindah keluar sehingga 24 November ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr. Gunarajah George, berkata, beliau sudah pun bertemu dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi membenarkan lanjutan tempoh pemindahan tujuh hari yang dimaklumkan sebelum ini.
Menurutnya, tempoh tujuh hari itu singkat dan tidak mencukupi terutama bagi golongan warga emas.
“Kerajaan negeri sudah setuju bagi memberikan lanjutan tersebut selama dua minggu lagi bagi membolehkan penduduk di sana membuat persiapan untuk berpindah,” ujarnya.
Sementara itu, menerusi sepucuk surat dari Pejabat Menteri Besar, tarikh masuk tapak bagi projek WCE ditangguhkan sehingga 24 November ini bertujuan memberi ruang kepada penyelarasan akhir bersama pihak-pihak berkaitan sebelum kerja pembersihan serta pembinaan dilakukan.
Berdasarkan surat bertarikh 10 November itu, Menteri Besar bersetuju supaya tarikh kemasukan ke tapak ditangguhkan.
Minggu lalu Utusan Malaysia melaporkan 19 pemilik tanah di sepanjang 150 meter Seksyen 3 Lebuhraya WCE itu diberi notis selama tujuh hari sehingga hari ini untuk mengosongkan rumah masing-masing.
Pengosongan itu dibuat dan ia dianggap muktamad mengikut keputusan yang pernah dicapai dahulu dengan jumlah pampasan yang sudah diserahkan sebanyak RM9.8 juta. – UTUSAN










