KUALA LUMPUR: Hasrat seorang gadis untuk bekerja di Singapura selepas menamatkan pengajian diploma dalam bidang Sains Pengurusan Pejabat bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Poipet, sempadan Thailand-Kemboja.
Mangsa, 21, berasal dari Johor Bahru itu, mengalami tekanan mental yang melampau sehingga menyatakan hasrat untuk terjun dari bangunan akibat tidak tahan dengan penderaan psikologi oleh sindiket.
Ibu mangsa, Ain, 42, berkata, anak perempuannya itu pada awalnya memaklumkan mahu bekerja di Singapura. Namun, dia dipercayai dipujuk oleh seorang kenalan kepada rakannya untuk ‘jalan-jalan’ ke Thailand sementara menunggu kemasukan kerja di Singapura.
Bagaimanapun, tanpa disedari, dia telah diseludup masuk ke Kemboja dan dipaksa bekerja di sebuah syarikat penipuan dalam talian (scam compound) di Poipet.
“Kami sekeluarga tak tahu dia dah sampai Kemboja. Dia kata dia di Thailand sahaja. Tapi, bila mula hantar mesej minta tolong dan menyatakan tekanan mental yang dialami, baru kami sedar perkara sebenar.
“Dia cakap dia tak tahan, dia cakap nak terjun bangunan,” katanya pada sidang media anjuran Pertubuhan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.
Sejak Disember 2024, mangsa dipercayai dikurung tanpa kebebasan, hanya dibenarkan keluar bilik mengikut waktu yang ditetapkan, manakala satu-satunya makanan yang berani dimakannya hanyalah mi segera.
Lebih menyedihkan, sindiket tersebut turut mengugut untuk menjual gadis berkenaan ke sindiket lain di Laos jika dia terus menunjukkan keinginan untuk pulang ke tanah air.
Sementara itu Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kes ini menunjukkan betapa seriusnya ancaman sindiket pemerdagangan manusia yang terus beroperasi secara agresif di rantau Asia Tenggara.
“Anak gadis ini bukan calang-calang, dia lulusan diploma, bercita-cita tinggi dan hanya mahu pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan. Tapi akhirnya dia ditipu, dipergunakan dan kini mengalami trauma yang teruk.
“Sindiket ini sangat licik. Bila media dedahkan, barulah sindiket takut dan ada yang lepaskan mangsa kerana mereka tahu kita hantar maklumat kepada Kedutaan Malaysia di Kemboja dan juga kepada pasukan khas anti pemerdagangan manusia di sana,” katanya.
Hishamuddin berkata, laporan polis telah dibuat pada 21 Mac 2025 di IPD Seri Alam, Johor. Namun sehingga kini, mangsa masih belum dapat dibebaskan.
“Kami telah menyebarkan semua maklumat dan bukti termasuk mesej WhatsApp kepada pihak Kedutaan dan Task Force. Kami juga ada maklumat lengkap termasuk nama dan nombor kad pengenalan pengurus-pengurus sindiket warga Malaysia yang berada di Kemboja.
“Kami beri amaran, lepaskan mangsa sebelum kami dedahkan nama kamu kepada pihak berkuasa antarabangsa,” katanya. – UTUSAN