SHAH ALAM: Kes seorang lelaki warga Taiwan yang maut digilis tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Pusat Bandar Puchong, Selasa lalu berlaku atas perbuatan sendiri dan tiada unsur jenayah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan kes itu kekal diklafisikasikan pihaknya sebagai mati mengejut (SDR).
“Hasil siasatan mendapati kejadian itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah atau kecuaian lain.
“Kita ada sumber keterangan menunjukkan bahawa dia (mangsa) jatuh atas kelakuannya sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki berusia 63 tahun itu berjalan berseorangan sebelum terjatuh digilis tren LRT berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pukul 6.05 petang dan pemeriksaan kemudian menemukan mangsa berada di bawah LRT itu dalam keadaan tidak sedarkan diri serta telah meninggal dunia.
Lelaki itu masuk ke negara ini pada 31 Mei lalu dan polis berhubung dengan keluarga mangsa melalui pihak kedutaan bagi tindakan lanjut. – UTUSAN