PETALING JAYA: Dua lagi suspek lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan insiden pergaduhan di Dataran Merdeka, baru-baru ini.
Penahanan suspek berusia 21 dan 22 tahun itu dibuat pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dalam serbuan berasingan kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, suspek pertama ditahan di hadapan sebuah bangunan di Jalan Tun Perak pada pukul 1.40 pagi, manakala tangkapan kedua dilakukan pada 3.15 pagi di sebuah pangsapuri di Bandar Sunway.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mendapati kedua-dua suspek berada di lokasi kejadian dan seorang daripadanya mengaku terbabit memukul mangsa.
“Kedua-dua suspek kini dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, polis mengesan sekumpulan individu yang terbabit dalam kejadian pergaduhan di Dataran Merdeka sehingga video kejadian tular di media sosial.
Menerusi rakaman berdurasi 23 saat itu, ia memaparkan beberapa lelaki bergaduh dan antaranya membaling topi keledar.
Kejadian itu turut disaksikan sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal yang dilihat berkumpul di kawasan berkenaan.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan berkata, polis berjaya menahan lima lelaki termasuk seorang remaja 17 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – UTUSAN