Polis Selangor rampas cecair vape berisi dadah lebih RM5 juta

Polis Selangor rampas cecair vape berisi dadah lebih RM5 juta

HUSSEIN Omar Khan (tengah) menunjukkan pod dan katrij yang dipercayai mengandungi dadah di IPK Selangor, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN/ AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Satu sindiket yang menjual vape yang berisi dadah bernilai lebih RM5 juta berjaya ditumpaskan polis dalam dua serbuan di Klang dan Sungai Buloh pada Selasa dan Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, rampasan tersebut merupakan yang terbesar di Selangor pada tahun ini.

“Polis telah membuat risikan ke atas sindiket ini kira-kira tiga bulan lalu berdasarkan maklumat yang diterima.

“Hasil risikan ini, anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dan Sungai Buloh telah membuat serbuan ke atas sebuah premis di Klang Utara, kira-kira pukul 8 malam Selasa lalu. 

“Menerusi serbuan ini, kami merampas 663 buah kartrij berisi cecair vape yang disyaki mengandungi dadah jenis Methamphine dengan anggaran isipadu 1,260 mililiter (ml),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Menurutnya, nilai rampasan cecair vape daripada serbuan sama dianggarkan berjumlah RM199,000 dengan kesemua vape tersebut dijual untuk pasaran Lembah Klang.

Hussein berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berumur 21 tahun, iaitu jurujual kedai vape itu lantas membawa polis ke serbuan kedua ke atas sebuah kilang yang memproses cecair vape di sekitar kawasan perindustrian Sungai Buloh pada pukul 12.30 tengah malam Rabu lalu.

“Dalam serbuan ini, kami merampas 4,600 buah pod dan 158 buah tong plastik berisi cecair vape mengandungi dadah jenis Amphetamine dan Ketamine yang berisipadu 929,000ml.

“Kami turut menahan seorang lelaki tempatan dan 10 warga asing yang berumur 21 hingga 28 tahun.

“Suspek lelaki tempatan berperanan sebagai pengurus perniagaan manakala supek warga asing berperanan sebagai pembungkus cecair vape,” jelasnya.

Mengulas lanjut, kilang tersebut dipercayai memproses cecair vape itu sejak enam bulan lalu dan disyaki dibiayai oleh seorang lelaki warga asing.

Kata Hussein, lelaki warga asing itu dipercayai mengajar suspek warga tempatan (pengurus perniagaan) untuk memproses cecair vape tersebut.

“Vape yang mengandungi dadah ini dijual dengan harga RM300 satu pod. Mereka yang ingin beli vape ini boleh beli pod ini dengan datang ke dua kedai itu atau beli secara atas talian.

“Kami sedang siasat sama ada sindiket ini ada kaitan dengan sindiket yang membabitkan warga Taiwan yang ditumpaskan oleh JSJN Bukit Aman baru-baru ini.

“Kesemua suspek kini direman antara lima hingga tujuh hari bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN