PETALING JAYA: Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki dipercayai terlibat dengan pergaduhan di sekitar Dataran Merdeka sehingga tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata di tempat awam.
Katanya, ia susulan laporan maklumat pertama dibuat oleh Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi ekoran video yang tular di media sosial.
“Usaha mengesan mereka yang terlibat sedang dalam tindakan pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular video menunjukkan sekumpulan lelaki dipercayai mat rempit disyaki bergaduh di ibu negara.
Dalam video terbabit, individu-individu yang terlibat dilihat memukul sesama sendiri menggunakan topi keledar. – UTUSAN