PETALING JAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia yang berselindung di sebalik sebuah agensi pekerjaan beroperasi di Klang.
Serbuan dijalankan ke atas tiga buah premis berbeza, mendedahkan kegiatan pemerdagangan manusia melibatkan pembantu rumah warganegara Filipina.
Serbuan dilakukan berdasarkan aduan awam dan hasil risikan oleh Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Berdasarkan risikan selama dua minggu, pasukan menahan seorang wanita tempatan disyaki sebagai dalang utama, serta dua wanita Filipina dipercayai berperanan sebagai penjaga premis (caretaker).
Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JIM, Ismail Mokhtar berkata, operasi tersebut berjaya menyelamatkan sembilan wanita warganegara Filipina dan menahan 10 lagi wanita warganegara berkenaan berusia antara 26 hingga 43 tahun.
“Mangsa yang diselamatkan disyaki telah dieksploitasi sebagai pembantu rumah, manakala kesemua migran yang ditemui tidak memiliki pasport atau pas lawatan yang sah.
“Pasukan operasi telah menyita sebuah premis yang dipercayai dijadikan lokasi penahanan mangsa serta beberapa pasport Filipina dan Indonesia.
“Turut disita, beberapa unit telefon bimbit yang dipercayai mengandungi bukti komunikasi penting antara dalang dengan penjaga premis,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ismail, modus operandi yang digunakan adalah dengan membawa masuk migran dari negara sumber melalui janji tawaran pekerjaan.
Pihak agensi kemudiannya mengikat mangsa dengan kontrak yang ditandatangani, dan mereka tidak dibenarkan pulang ke negara asal serta diwajibkan bekerja dan membayar sejumlah bayaran tinggi yang ditetapkan agensi.
“Kesemua mangsa diarahkan bekerja secara separuh masa sebagai pembantu rumah bersama beberapa majikan yang berbeza, dengan kadar bayaran harian antara RM70 hingga RM120.
“Namun begitu, bayaran gaji diserahkan sepenuhnya kepada agensi tanpa diberikan kepada mangsa atau tanpa persetujuan mereka.
“Mangsa turut dikenakan kawalan ketat seperti pasport dipegang oleh agensi, manakala telefon bimbit disimpan oleh penjaga premis dan hanya diberikan jika perlu,” katanya.
Bagi kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670), sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum 30 tahun atau penjara seumur hidup serta sebatan, katanya. – UTUSAN