SUNGAI PETANI: Seorang guru di sebuah pusat pendidikan prasekolah, di sini direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dipercayai dirotan pada Khamis lalu.
Perintah reman terhadap suspek wanita berusia 28 tahun itu dikeluarkan di Kompleks Mahkamah Sungai Petani, di sini pagi ini.
Proses reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.
Akhbar sebelum ini melaporkan dua murid prasekolah berusia lima tahun didakwa mengalami lebam selepas dirotan seorang guru hanya kerana mereka dikatakan tidak bersungguh ketika latihan bola jaring pada Khamis lalu.
Difahamkan, keluarga membawa kanak-kanak terbabit ke sebuah klinik kesihatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk pemeriksaan lanjut.
Kejadian itu turut tular di media sosial apabila tersebar video guru berkenaan dilihat merayu kepada keluarga mangsa agar tidak memperbesarkan isu tersebut, namun rayuan itu tidak diendahkan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima dua laporan daripada keluarga mangsa, namun salah satu daripadanya telah ditarik balik.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa sesi latihan bola jaring dan kedua-dua mangsa mengalami kesan lebam serta berbirat pada bahagian kaki dan tangan dipercayai akibat dirotan,” katanya.
Seterusnya, guru berkenaan ditahan pada pagi semalam susulan laporan polis yang dibuat oleh salah seorang waris kepada murid terlibat. – UTUSAN









