SUNGAI PETANI: Kegiatan licik sekumpulan penjenayah dikenali Geng Jack yang melakukan pecah premis perniagaan dan rumah tumpas berikutan penahanan lima lelaki dalam dua serbuan berasingan di sini, baru-baru ini.
Kesemua suspek berumur 29 hingga 52 tahun yang ditahan termasuk seorang juruteknik komputer itu mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah termasuk ketua kumpulannya yang baru dibebaskan dari penjara.
Modus operandi mereka adalah memakai pakaian syarikat utiliti elektrik semasa membuat rondaan ke atas premis perniagaan yang disasarkan pada sebelah siang sebelum memecah masuk pada waktu malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mereka dipercayai aktif melakukan jenayah terbabit di sekitar daerah ini sejak dua tahun lalu.
“Selepas satu kejadian pecah masuk pejabat peguam pada 27 Mei lalu, kita melancarkan Op Pintu dan tidak sampai 24 jam seramai tiga lelaki lelaki warga tempatan berjaya ditahan.
“Kita turut menemui dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 1.82 gram ketika tangkapan dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Kata Hanyan, susulan itu dua lagi ahli kumpulan terbabit ditahan bersama pelbagai barangan termasuk wang tunai dan barangan berharga berjumlah hampir RM40,000 dipercayai hasil kegiatan jenayah mereka.
Menurut beliau, sebuah kereta jenis Proton Persona dan alatan memecah masuk premis turut dirampas dan hasil pengakuan yang direkodkan mereka terlibat dalam kegiatan pecah pejabat, tadika, restoran dan rumah sarang burung walid.
“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai antara dua hingga 47 rekod jenayah bersabit kes jenayah serta dadah dan ujian air kencing mendapati semuanya positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Mereka kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah,” katanya. – UTUSAN