623,000kg beras seludup dari India dirampas

623,000kg beras seludup dari India dirampas

NADZRI Che Ani (tiga dari kiri) menunjukkan beras import dan minuman keras yang dirampas dalam sidang akhbar di Wisma JKDM di Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan penyeludupan beras, minuman keras dan rokok membabitkan nilai rampasan melebihi RM6.5 juta menerusi beberapa operasi bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Pengarah JKDM Melaka, Nadzri Che Ani berkata, rampasan terbesar melibatkan cubaan menyeludup 623,000 kilogram (kg) beras dari India bernilai RM5.2 juta yang diikrarkan sebagai sodium chloride atau garam.

Beliau berkata, kesemua beras itu dirampas daripada 28 kontena menerusi dua serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor pada 20 Januari dan 6 Februari lalu.

“Sebanyak 12,460 guni beras seludup ditemui di bawah timbunan 1,960 guni garam dalam setiap kontena. Semakan borang K1 mendapati dagangan telah diiklankan sebagai garam.

“Hasil pemeriksaan secara fizikal mendapati setiap kontena dimuatkan dengan 70 guni serbuk putih berupa garam dengan berat 40kg setiap guni berserta dengan 445 guni beras dengan berat 50kg setiap guni,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Tambah Nadzri, pemilik syarikat pengimport dan ejen penghantaran berusia 50-an telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, turut dirampas adalah sebanyak 1.1 juta batang rokok pelbagai jenama bernilai RM822,000 di sebuah pondok tidak berpenghuni di Muar, Johor kira-kira pukul 1 pagi, 5 April lalu.

“Sebanyak 8,584 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai hampir RM500,000 yang ditemui dalam tiga kenderaan pelbagai guna di Johor Bahru pada 7 Mac dan 11 April lalu turut dirampas. Kesemua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN