Suami isteri ditangkap, disyaki jual vape dadah kepada pelajar sekolah

Suami isteri ditangkap, disyaki jual vape dadah kepada pelajar sekolah

DZULKHAIRI Mukhtar (kiri) menunjukkan hasil rampasan termasuk termasuk cecair ketamin disyaki untuk vape pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Sepasang suami isteri yang baru tiga bulan mendirikan rumah tangga ditahan selepas disyaki menjual vape mengandungi dadah kepada pelajar sekolah.

Pasangan tersebut iaitu lelaki warga Singapura berusia 41 tahun dan isterinya yang merupakan wanita tempatan berusia 38 tahun ditahan dalam serbuan polis di sebuah rumah sewa di Jasin Bestari di sini, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, berdasarkan siasatan awal, pasangan tersebut dipercayai aktif memasarkan pelbagai jenis dadah dalam bentuk vape, pil dan serbuk kepada pasaran tempatan, khususnya pelajar sekolah dan remaja.

“Antara yang dirampas dalam serbuan termasuk cecair ketamin seberat 127.5 mililiter yang dipercayai digunakan dalam rokok elektronik serta pelbagai jenis dadah lain seperti pil ekstasi, Eramin 5, syabu, ganja dan serbuk ketamin.

“Modus operandi mereka adalah membungkus semula dadah ke dalam bekas-bekas cecair vape berperisa untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kereta jenis Proton Gen 2 dan sebuah motosikal SYM Husky milik pasangan tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM32,650.

“Sindiket ini dipercayai mula bergerak sejak tiga bulan lalu dan jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 786 orang penagih dan ujian air kencing juga mendapati kedua-dua mereka positif methamphetamine. 

“Suspek lelaki turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau di Singapura, manakala kesemua dadah yang dijual dipercayai dipasarkan secara sembunyi melalui media sosial dan kenalan rapat,” katanya. 

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 27 Mei hingga 2 Jun 2025 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kegiatan pasangan ini sangat membimbangkan kerana menyasarkan remaja sebagai pengguna awal dadah, termasuk menggunakan rokok elektronik sebagai medium penyamaran,” tegasnya.

Sementara itu, dalam kejayaan berasingan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka turut menumpaskan satu lagi sindiket dadah di sebuah kondominium di Jalan Syed Abdul Aziz pada 20 Mei lalu.

“Sepasang kekasih, lelaki tempatan dan wanita Vietnam, kedua-duanya berusia 30 tahun ditahan bersama pelbagai jenis dadah seperti heroin, syabu, ketamin, MDMA dan pil ekstasi dengan nilai keseluruhan sitaan RM362,370.30,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN