Sindiket guna ikrar palsu seludup bunga ganja ke Eropah

Sindiket guna ikrar palsu seludup bunga ganja ke Eropah

RAIZAM Setapa @ Mustapha dua dari kanan menunjukkan dadah jenis bunga ganja ketika sidang media Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sindiket dadah dikesan menggunakan taktik membuat pengikraran palsu bagi menyeludup bunga ganja ke luar negara melalui mod udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa @ Mustapha berkata, taktik tersebut dikesan hasil pemeriksaan pada 29 April lalu yang membawa kepada rampasan dadah bernilai RM993,936.

“Modus operandi sindiket adalah menyatakan kandungan bungkusan sebagai buku, pakaian serta alatan permainan untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Untuk tahun ini sahaja, kes rampasan melibatkan dadah jenis bunga ganja yang direkodkan sejak Januari hingga kini telah mencatatkan nilai keseluruhan sebanyak RM6,088,370,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Katanya, pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) telah melakukan pemeriksaan rapi ke atas bungkusan mencurigakan di Pusat Mel dan Kurier, KLIA.

“Pemeriksaan dilakukan sekitar pukul 2.30 petang selepas imej menyerupai bahan organik dikesan menerusi pengimbas pada beberapa bungkusan dagangan,” katanya.

Hasil pemeriksaan menemukan bungkusan bahan organik disyaki bunga ganja seberat 10.055 kilogram yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta di pasaran semasa.

Menurut Raizam, dadah jenis ganja diklasifikasikan sebagai bahan berbahaya di bawah Bahagian I, Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes ini kini masih dalam siasatan. Suspek yang disyaki terlibat sedang disoal siasat dan rakaman suara juga telah diambil sebagai sebahagian siasatan lanjut,” ujarnya.

Jelasnya, Malaysia kini hanya dijadikan sebagai negara transit bagi sindiket dadah antarabangsa sebelum dadah jenis bunga ganja itu dieksport ke negara-negara Eropah.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Sekiranya pesalah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, mahkamah wajib menjatuhkan tidak kurang daripada 15 sebatan terhadap individu terbabit.

Raizam turut menyeru orang ramai agar menjauhi aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara.

Maklumat berkaitan jenayah penyeludupan boleh disalurkan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat dengan jaminan kerahsiaan pemberi maklumat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN