PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati beberapa kenderaan atas nama pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur masih belum diisytiharkan lupus melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) walaupun tidak berada dalam pemilikan dalam satu tempoh masa lama.
EAIC dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu susulan hasil siasatan pihaknya selepas menerima aduan terhadap agensi penguatkuasaan tersebut membabitkan beberapa kenderaan.
Katanya, siasatan itu dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.
“Siasatan mendapati bahawa terdapat beberapa kenderaan atas nama Pegawai JPJ KL masih belum diisytiharkan lupus melalui sistem HRMIS walaupun kenderaan tersebut telah tidak berada dalam pemilikannya dalam satu tempoh masa yang lama.
“Hal tersebut sekaligus telah melanggar Subperaturan 10(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993],” katanya.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan tersebut di atas kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) JPJ dengan cadangan Surat Teguran diberikan kepada pegawai-pegawai JPJ yang terlibat. – UTUSAN