Dua penjenayah ditembak mati aktif kegiatan samun sejak 2023

Dua penjenayah ditembak mati aktif kegiatan samun sejak 2023

Keratan Utusan Online semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua penjenayah bersenjata yang ditembak mati polis di kawasan parkir sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan samun sejak tahun 2023.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan mendapati dua penjenayah terbabit yang disyaki terlibat dalam kumpulan kongsi gelap giat melakukan aktiviti samun di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.

“Mereka dipercayai terbabit dengan kes samun rumah, premis tempat pengumpulan barang syarikat penghantaran dan kedai serbaneka.

“Siasatan awal mendapati jumlah kerugian hasil kegiatan mereka dianggarkan berjumlah RM1 juta,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kini memburu saki-baki ahli kumpulan kongsi gelap yang mempunyai kaitan dengan dua penjenayah yang ditembak mati, semalam.

“Kita percaya masih ramai lagi dan operasi kini giat diteruskan bagi memburu mereka,” ujarnya.

Media semalam melaporkan polis menembak mati dua penjenayah bersenjata yang dipercayai terbabit dalam lebih 70 kes samun kira-kira pukul 10 malam di kawasan parkir bawah tanah sebuah kondominium di Bandar Baru Nilai dekat sini.

Fadil dilaporkan berkata, polis berbalas tembakan dengan suspek sebelum lelaki tempatan berusia 29 dan 40 tahun itu mati ditembak.

“Suspek berusia 40 tahun didapati mempunyai 76 rekod jenayah membabitkan keganasan dan dadah manakala seorang lagi suspek mempunyai 11 rekod.

“Suspek dikatakan menyewa kondominium di situ dan menjadikannya sebagai lokasi persinggahan, malah banyak lagi lokasi lain dijadikan tempat penginapan,” katanya.

Menurutnya, polis turut menemukan dua senjata api iaitu sepucuk pistol separa automatik dan pistol revolver yang dipercayai digunakan suspek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN