MELAKA: Tanpa memikirkan keselamatan diri, beberapa orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tinggal di sebuah penempatan pekerja di Bandaraya Melaka di sini, nekad terjun ke dalam longkang dengan kedalaman lima meter semata-mata ingin mengelak ditangkap pihak berkuasa.
Serbuan oleh Jabatan Imigresen kira-kira pukul 12 tengah malam tadi berjaya menahan 90 warga asing pelbagai negara yang dipercayai bekerja secara haram sebagai buruh di tapak-tapak pembinaan.
Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, Op Sapu dijalankan pihaknya adalah berdasarkan aduan diterima berkaitan lambakan warga asing yang bekerja di tapak pembinaan sekitar Taman Kota Laksamana.
“Beberapa PATI nekad melarikan diri dengan terjun ke dalam longkang sedalam lima meter bagi mengelak ditangkap pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen, apabila penempatan pekerja asing di tengah Bandaraya Melaka diserbu.
“Ada yang berjaya ditahan dan ada yang berjaya meloloskan diri memandangkan keadaan persekitaran yang gelap dan membahayakan.
“Seramai 117 warga asing telah diperiksa dan hasil pemeriksaan telah menangkap 90 orang daripadanya terdiri lapan lelaki dan dua wanita Indonesia, 75 lelaki Bangladesh, empat lelaki Myanmar dan seorang lelaki Pakistan,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi kira-kira pukul 3 pagi, hari ini.

Tambah Anirwan Fauzee, kesemua yang ditangkap berumur dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun manakala satu saman kepada saksi dikeluarkan kepada pengawal keselamatan premis berkenaan.
Jelasnya, majikan kepada kesemua yang ditahan akan dikesan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
“Operasi penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan bertumpu kepada lokasi-lokasi panas yang menjadi tumpuan warga asing, di samping tindakan tegas yang akan diambil terhadap majikan yang menggaji PATI dan juga pihak yang cuba melindungi PATI.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap pemilik premis dan majikan yang menggajikan warga asing tanpa dokumen perjalanan, pas atau permit kerja yang sah serta sengaja memberi perlindungan pada warga asing yang telah melanggar Akta Imigresen 1959/63,” tegasnya. – UTUSAN









