JASIN: Seorang pelajar tingkatan tiga direman tujuh hari sehingga Ahad ini selepas dipercayai melakukan amang seksual fizikal dan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, sejak pertengahan tahun lalu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd. Firdaus Salleh hari ini selepas suspek diberkas polis berikutan laporan dibuat ibu mangsa berumur 43 tahun yang juga seorang peniaga.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, kejadian tidak bermoral itu kali pertama berlaku pada pertengahan 2023 di sebuah rumah di Bemban di sini, yang mana suspek melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.
“Kemudian pada 3 Februari 2024 lebih kurang pukul 4 petang hingga 5 petang, kejadian sama berulang dan suspek turut merogol mangsa.
“Keesokan harinya suspek telah mengambil mangsa dari rumah datuknya di Bemban dan membawa mangsa ke rumahnya di Chohong. Suspek meraba seluruh badan kanak-kanak itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Jamil, kes disiasat di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










