KPDN gempur kedai perabot tidak pamer harga di MITC

KPDN gempur kedai perabot tidak pamer harga di MITC

ANGGOTA penguat kuasa KPDN menyoal seorang peniaga di premis perniagaan sekitar MITC, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tanda harga tidak jelas dan kabur didakwa sebagai tulisan Jawi.

Itu antara alasan diberikan seorang pekerja kedai perabot warga Pakistan di premis perniagaan sekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, apabila diserbu sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, walaupun pekerja terbabit mempamerkan tanda harga tetapi tulisan yang didakwa sebagai tulisan Jawi itu sukar dibaca dan mengelirukan.

“Kita tengok harga macam RM350 atau RM650, bila ditanya dia kata itu adalah tulisan Jawi. Di premis berlainan, pekerja memberikan alasan anak pelanggan bermain dengan tanda harga dan (peniaga) belum sempat meletakkannya semula.

“Selain itu, ada juga pekerja mendakwa tidak meletakkan tanda harga kerana perabot telah ditempah pelanggan. Apabila disoal, perabot berkenaan tidak ditempah dan sengaja dibiarkan begitu untuk dijual pada harga berbeza mengikut kemampuan pelanggan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai operasi, hari ini.

Tambah Norena, dalam pemeriksaan mengejut bermula pukul 12 tengah hari itu, sebanyak 20 premis menjual perabot dan langsir telah diperiksa.

Menurutnya, KPDN negeri berjaya menghasilkan tujuh kes membabitkan tujuh premis dan dikenakan kompaun serta merta berjumlah RM5,000.

“Kompaun dikeluarkan atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972. Tiada sitaan dilakukan kerana kesemua premis terlibat telah membayar kompaun.

“Operasi ini bertujuan mengekang sikap peniaga yang cuba mengambil kesempatan terhadap pengguna menjelang musim perayaan tidak lama lagi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×