NIBONG TEBAL : Sebuah rumah teres dua tingkat antara dua buah premis yang diserbu oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) hari ini kerana membuat sambungan elektrik secara haram untuk menjalankan aktiviti perlombongan mata wang bitcoin.
Kegiatan mencuri elektrik itu dikatakan telah menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian sehingga mencecah RM22,000 setiap bulan.
Pengarah ST Wilayah Utara, Muhamad Azmi Ishak berkata, terdahulu, serbuan yang dilakukan di sekitar kawasan Valdor, Simpang Ampat itu bermula pukul 10 pagi dan disertai oleh kira-kira 20 penguatkuasa.
Katanya, sembilan mesin bitcoin yang diletakkan di dalam salah satu bilik dijumpai di tingkat atas rumah teres terbabit dalam serbuan pertama.
“Bilik berkenaan juga kedap bunyi dan kipas yang dipasang menyebabkan aktiviti ini tidak dapat dikesan oleh penduduk setempat.
“Inilah kali pertama kita menjumpai sebuah rumah yang dijadikan pusat operasi bitcoin yang bukan sahaja boleh membahayakan penduduk sekitar malah boleh menyebabkan kebakaran akibat litar pintas susulan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi iaitu 24 jam sehari.
“Pada masa yang sama, mereka juga cuba mengaburi mata pihak berkuasa dan penduduk dengan meletakkan kasut kanak-kanak di depan rumah, seolah-olah ada keluarga yang tinggal di sini,” katanya kepada pemberita selepas selesai Ops Bitcoin di sini, hari ini.
Tambahnya, tujuh mesin bitcoin dalam sebuah rumah kedai pula ditemukan menerusi serbuan kedua.
“Kedua-dua premis ini disyaki sudah beroperasi sejak enam bulan lalu dengan menggunakan penyambungan elektrik tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan untuk mengelakkan pembayaran bil.
“Setakat ini, suspek masih belum dapat dikenal pasti, namun, kita akan teruskan usaha mengesan pemilik premis.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), iaitu mengganggu, mencacatkan atau merosakkan pepasangan elektrik,”ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap penduduk akan lebih peka dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti berkaitan kecurian elektrik di kawasan kediaman masing-masing.-UTUSAN











