Kes rogol, cabul kanak-kanak antara tertinggi di Melaka

Kes rogol, cabul kanak-kanak antara tertinggi di Melaka

ZAINOL Samah (enam dari kanan) bersama pelajar dan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka pada Pelancaran Duta Sahsiah Pemangkin Pembentukan Karakter Karamah Insaniah Peringkat Negeri di SMK Bukit Baru, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jenayah rogol dan cabul melibatkan mangsa kanak-kanak dan remaja antara kes tertinggi direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, secara keseluruhan sebanyak 173 kes direkodkan di bawah 30 seksyen berlainan membabitkan mangsa berusia antara tujuh hingga 18 tahun.

Kata beliau, kes rogol, cabul dan dera antara yang tertinggi direkodkan diikuti keganasan rumah tangga serta ugutan jenayah.

“Setakat September, kita merekodkan 50 kes di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan sementara 43 kes di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Jenayah dera di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 sebanyak 13 kes.

“Sebanyak sembilan kes melibatkan Akta Keganasan Rumah Tangga dan tujuh kes berkaitan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Satu ke tiga kes pula membabitkan pukul, curi, samun dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Duta Sahsiah Pemangkin Pembentukan Karakter Karamah Insaniah Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru di sini, hari ini.

Tambah Zainol, Melaka turut merekodkan satu kes bunuh di daerah Melaka Tengah dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis turut merekodkan tangkapan membabitkan pesalah muda dengan 15 kes berkaitan jenayah rogol, mengakibatkan kecederaan (empat kes) dan satu kes bunuh.

Menurutnya, statistik tersebut menunjukkan kepentingan pelaksanaan Duta-duta Sahsiah yang dilantik oleh pihak sekolah.

“Mereka bertindak sebagai pemantau dan pelapor untuk kita mengenal pasti penglibatan pelajar dalam kegiatan yang melanggar peraturan.

“Pihak sekolah dan ibu bapa diminta sentiasa peka terhadap perkembangan semasa trend jenayah agar anak-anak tidak terlibat sama sebagai pelaku atau menjadi mangsa jenayah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN