TUMPAT: Pertubuhan Pemikir Azam Kelantan (Azam Kelantan) mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung insiden kebakaran melibatkan gerai menjual mercun di Jalan Wakaf Che Yeh, dekat sini minggu lalu yang mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan awam.
Koordinatornya, Nizam Muhamad berkata, kejadian itu bukan isu terpencil sebaliknya mencerminkan kemungkinan wujudnya kelompongan dalam kawal selia penjualan bahan berisiko tinggi di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri tidak boleh berdiam diri dan perlu menjelaskan status kelulusan, pemantauan serta garis panduan penjualan mercun yang didakwa tidak jelas.
“Ini bukan soal kebakaran kecil semata-mata tetapi melibatkan keselamatan orang ramai. Jika berlaku pada waktu puncak, impaknya boleh menjadi tragedi besar. Kami mendesak penjelasan segera daripada kerajaan negeri serta Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) berhubung bagaimana gerai ini boleh beroperasi dan sejauh mana pemantauan dilakukan,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.
Nizam berkata, penjualan mercun dan bunga api di negeri lain tertakluk kepada syarat ketat termasuk lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kelulusan polis.
Katanya, bagaimanapun di Kelantan garis panduan tersebut didakwa tidak mudah diakses atau dirujuk.
“Persoalannya, apakah pemantauan benar-benar dilakukan atau wujud kelonggaran dalam penguatkuasaan. Lokasi kejadian yang berada di kawasan tumpuan ramai serta berhampiran premis mudah terbakar seperti kedai tayar meningkatkan risiko sekiranya berlaku kebakaran lebih besar,” ujarnya.
Terdahulu, polis dilaporkan menahan dua individu, masing-masing seorang wanita dan seorang lelaki, bagi membantu siasatan kebakaran melibatkan gerai menjual bunga api dan mercun di hadapan sebuah kedai makan di Batu 3, Wakaf Che Yeh.
Kedua-dua individu yang merupakan pemilik dan penjaga premis itu ditahani bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan iaitu kecuaian berhubung bahan api atau bahan letupan yang boleh menyebabkan kebakaran, kecederaan atau kerosakan harta benda. – UTUSAN










