Suasana Pantai Puteri cemas, jumpa mayat tertiarap

Suasana Pantai Puteri cemas, jumpa mayat tertiarap

MAYAT seorang wanita dijumpai dalam keadaan tertiarap dan terbenam dalam pasir di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Suasana pagi hujung minggu di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini yang kebiasaannya ceria, tiba-tiba bertukar cemas hari ini selepas orang ramai menemui satu mayat yang terdampar di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat yang ditemukan kira-kira pukul 8.00 pagi tadi dalam keadaan tertiarap dan terbenam dalam pasir disahkan adalah seorang wanita.

Beliau berkata, pemeriksaan pada tubuh si mati tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Mayat mangsa ditemui oleh orang awam lebih kurang pukul 8.00 pagi. Kedudukan mayat ditemui di perairan Pantai Puteri dalam keadaan tertiarap dan terbenam dalam pasir.

“Pemeriksaan terhadap tubuh badan si mati tiada kecederaan dan tiada unsur jenayah berlaku. Mayat si mati telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Christopher, walaupun identiti mayat belum dikenal pasti, namun polis percaya si mati merupakan warganegara tempatan berdasarkan kesan suntikan bacillus calmette gurrain (BCG) yang terdapat pada lengan si mati.

“Kita sedang usahakan identiti mangsa melalui cap jari. Kita syak mangsa warganegara Malaysia berdasarkan ada suntikan BCG. Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian dapat melaporkan kepada balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN