Modul khas tangani buli dilancar Oktober

Modul khas tangani buli dilancar Oktober

AYOB KHAN Mydin Pitchay menjadi ahli panel forum Seminar STEM Bagi Memperkasa Masyarakat Madani di Kampus Induk UTeM di Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Satu modul khas akan dilancarkan bulan depan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengatasi masalah buli dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti di seluruh negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, modul tersebut merupakan penambahbaikan Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja (Mekar) yang diperkenalkan ketika beliau menjadi Ketua Polis Johor.

Kata beliau, ia terpakai untuk semua golongan pelajar bermula dari darjah satu sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) yang turut melibatkan kaunselor-kaunselor universiti.

“Dalam beberapa minggu atau sebulan lagi kita akan lancarkan modul ini di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan sebagainya.

“Sekarang ini kita sedang dalam proses untuk menyusun balik modul (Mekar) itu yang pernah kita lancarkan di Johor dulu, namun terhenti kerana Covid-19,” katanya pada forum Seminar Pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Bagi Memperkasa Masyarakat Madani di Kampus Induk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, semalam.

Tambah Ayob Khan, buat masa ini sebarang isu kesalahan buli termasuk buli siber yang dilakukan pelajar sekolah akan dirujuk kepada pegawai perhubungan sekolah (PPS) mengikut daerah.

Menurutnya, tugas PPS adalah memantau keperluan keselamatan di sekolah untuk mengenal pasti masalah serta membantu dalam pengurusan sebelum dan selepas sesuatu krisis berlaku.

“Kita yakin modul ini akan memberi impak yang besar apabila diguna pakai di semua peringkat sekolah dan universiti kelak,” ujarnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN