Dua mayat bertatu dibuang tepi jalan

Dua mayat bertatu dibuang tepi jalan

LOKASI penemuan dua mayat bertatu di Jalan Kampung Ujong Padang di Cheng, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua mayat lelaki bertatu yang dipercayai dibunuh kira-kira tiga hari lalu ditemui dalam semak di Jalan Kampung Ujong Padang, Cheng di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya sedang menyiasat sama ada tatu yang terdapat pada tubuh kedua-dua si mati mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan kongsi gelap.

CHRISTOPHER PATIT

Beliau berkata, mayat ditemui oleh seorang penghantar barang runcit kira-kira pukul 9 pagi sebelum dilaporkan kepada polis.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, mayat dibungkus dalam kanvas dan diikat menggunakan tali kabel.

“Kita menemui tatu di anggota badan, namun ia pudar dan siasatan lanjut sedang dilakukan sama ada ia berkaitan dengan kes pembunuhan ini.

“Satu mayat dijumpai dalam keadaan lengkap berpakaian dengan berbaju T hitam dan berseluar pendek, manakala di sebelahnya mayat lelaki tidak berpakaian dan hanya berseluar pendek.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada kedua-duanya dan kita percaya mereka ini dibunuh di lokasi lain sebelum dibuang di tepi jalan dekat sini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Christopher, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kita percaya kedua-dua lelaki ini telah dibunuh sekitar tiga hari lalu berdasarkan keadaan tubuh badan mereka,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN