Maut ditikam selepas tegur saiz payudara

Maut ditikam selepas tegur saiz payudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara bercakap mengenai saiz payudara seorang wanita, seorang pengurus syarikat maut ditikam dalam insiden pergaduhan di sebuah kedai makan di Taman Kenanga, Tengkera di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku selepas si mati yang dalam keadaan mabuk datang ke kedai berkenaan untuk makan dan minum bersama rakannya.

CHRISTOPHER PATIT

Katanya, sebaik sahaja selesai makan, si mati bercakap dengan rakannya dalam bahasa tamil mengenai payudara seorang wanita dan perbualan mereka telah didengari oleh pengawal peribadi perempuan berkenaan.

“Pengawal peribadi itu kemudiannya menegur sikap si mati dan memaklumkan wanita itu adalah majikannya. Berlaku pertengkaran mulut antara mereka berdua sehingga tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Christopher, polis menerima laporan daripada orang awam pukul 4.15 pagi dan pemeriksaan di lokasi mendapati, si mati berada dalam keadaan tidak sedarkan diri serta mengalami kecederaan.

Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Melaka oleh dua rakannya menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Dia bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia dan hasil bedah siasat dijalankan mendapati punca kematian disebabkan luka tikaman pada jantung. Susulan itu tujuh suspek berusia antara 25 sehingga 38 tahun telah ditahan.

“Si mati dipercayai maut akibat ditikam oleh pengawal peribadi berkenaan. Polis turut merampas pisau dan batang besi yang digunakan dalam pergaduhan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya