30 set bubu naga dirampas di perairan Penaga - Utusan Malaysia

30 set bubu naga dirampas di perairan Penaga

MARITIM Malaysia Pulau Pinang merampas 30 set bubu naga di dua lokasi pada kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika barat daya pantai Teluk Malas, Penaga, Pulau Pinang petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 30 set bubu naga di dua lokasi pada kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika barat daya pantai Teluk Malas, Penaga, dekat sini pukul 4.40 hingga 5.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, melalui rutin rondaan Op Pertiwi yang dilakukan bot ronda Maritim Pulau Pinang petang semalam, pihaknya mengesan pelampung penanda yang mencurigakan di dua lokasi dan berjaya menemukan 30 set bubu naga yang dipasang individu tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, kesemua bubu naga dengan anggaran nilai RM3,600 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban, dekat sini untuk tindakan lanjut.

“Bubu naga ini diharamkan penggunaannya di laut kerana sifatnya yang tidak selektif dan merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Abd. Razak, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan komuniti nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

“Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.