Tujuh lelaki jual biskut berperisa ‘ganja’ ditahan - Utusan Malaysia

Tujuh lelaki jual biskut berperisa ‘ganja’ ditahan

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai (tengah) menunjukkan bungkusan yang mengandungi biskut berperisa ganja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Tindakan satu sindiket dadah menjual biskut berperisa ganja terbongkar selepas polis menahan tujuh lelaki dalam tiga serbuan berasingan di Batu Caves serta Bandar Menjalara Kepong, dekat sini minggu lalu. 

Kesemua suspek berusia antara 21 sehingga 25 tahun itu ditahan selepas mengedar dadah berkenaan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira pukul 4 petang pada Rabu lalu sebelum menahan seorang lelaki berusia 21 tahun di kawasan kondominium di Bandar Menjalara, Kepong.

Kata beliau, menerusi tangkapan itu, pihaknya menemukan satu peket mengandungi dadah methaphetamin seberat 13 gram di dalam poket suspek.

“Berpandukan maklumat dari suspek, kami membuat pemeriksaan di sebuah unit kondominium di kawasan berhampiran yang membawa kepada penemuan 15 ketulan mampat ganja seberat 14.98 kilogram.

“Selain itu, kami turut menemukan dua bungkusan mengandungi 12 biskut berperisa ganja serta lima peket methaphetamin seberat 65 gram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, kata Eng Lai, hasil soal siasat dilakukan terhadap suspek terbabit membawa kepada serbuan kedua di Jalan Lintang Batu Caves pada pukul 5 petang keesokannya.

“Di situ, dua lelaki masing-masing berusia 22 dan 25 tahun.

“Pemeriksaan di dalam kereta milik suspek menemui 10 ketulan mampat ganja seberat 9.94 kilogram di tempat duduk penumpang bahagian belakang,” jelasnya.

Tambah beliau, beberapa barang kemas serta wang tunai berjumlah RM2,400 dipercayai hasil jualan dadah berkenaan.

“Kita turut merampas beberapa barang kemas serta wang disyaki hasil jualan dadah itu sebanyak RM1,500,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Eng Lai, modus operandi sindiket itu adalah mengambil tempahan biskut ganja daripada seorang lelaki tempatan di sekitar Lembah Klang sebelum ia dijual kepada pelanggan tetap menerusi media sosial.

Kata beliau, suspek akan mengambil biskut ganja itu daripada pembekal sebelum ia dibungkus semula untuk dijual enam biskut dalam setiap bungkusan pada harga RM100.

“Suspek yang menerima tempahan daripada pelanggan tetap akan menghantar sendiri biskut berkenaan. 

“Kami percaya bekalan ganja itu diperoleh di sekitar Lembah Klang dan mereka ini telah aktif sejak akhir tahun lalu,”jelasnya.

Jelas beliau, pihak polis sedang mengesan individu yang terbabit dalam proses menghasilkan biskut berperisa ganja berkenaan.

“Semakan dilakukan mendapati empat daripada tujuh suspek terbabit memiliki rekod berkaitan dadah.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Khamis lalu hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN