Teruja melabur, penjawat awam hilang wang simpanan RM20,130  - Utusan Malaysia

Teruja melabur, penjawat awam hilang wang simpanan RM20,130 

YAP HUAT TIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Gara-gara teruja membuat pelaburan, seorang penjawat awam kerugian RM20,130 akibat menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham emas, petroleum dan gas secara dalam talian.

Mangsa yang merupakan seorang wanita berusia dalam lingkungan 44 tahun dari Temerloh itu dikatakan melihat tawaran pelaburan melalui aplikasi TikTok pada penghujung bulan Mei lalu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Deputi Superintenden Yap Huat Tian berkata, mangsa terpedaya dengan tawaran iklan tersebut kononnya menjanjikan keuntungan tinggi dan dibayar dalam masa singkat.

“Mangsa berminat dan memilih pakej emas iaitu bayaran pelaburan RM250. Suspek memberi jaminan dalam tempoh lapan hingga 12 jam mangsa akan menerima pulangan RM7,800.

“Selepas itu, mangsa memberikan maklumat diri sepertimana yang telah diminta oleh suspek bagi memulakan pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Huat Tian dalam pada itu berkata, mangsa  telah melakukan enam kali transaksi wang berjumlah RM20,130  ke dalam pelbagai akaun bank atas nama suspek yang berbeza sejak 28 Mei lalu.

“Mangsa melakukan semua pemindahan wang itu bagi tujuan pelaburan dan suspek kemudian meminta mangsa terus membayar tambahan RM5,620 sebagai komisien staf pelaburan. 

“Kemudiannya mangsa enggan membuat pembayaran kerana merasakan ditipu dan segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, Jumaat lalu. Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen  420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihat orang ramai supaya tidak mudah mempercayai  pelaburan yang boleh menjana keuntungan berlipat-ganda dalam masa yang singkat. 

“Sebaik-baiknya orang ramai perlu membuat semakan terlebih dahulu terhadap akaun bank atau panggilan telefon yang diterima jika merasa curiga sebelum melakukan sebarang pemindahan wang. Semakan boleh dibuat melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN