Juruteknik ditahan terlibat pergaduhan dengan lelaki warga asing - Utusan Malaysia

Juruteknik ditahan terlibat pergaduhan dengan lelaki warga asing

TANGKAP layar video tular membabitkan dua lelaki yang bergaduh di sebuah restoran di Lebuh Chulia, Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan selepas dipercayai mencederakan seorang lelaki warga asing dalam satu pergaduhan yang tular dalam media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komissioner Soffian Santong berkata, suspek berusia 29 tahun itu ditahan pukul 10.30 malam tadi oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut di Lebuh Chulia, di sini kerana disyaki terlibat dalam kejadian tersebut. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, video berdurasi 38 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter “nanmanjoi8715” itu memaparkan dua lelaki sedang bergaduh di hadapan sebuah restoran.

”Hasil semakan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 pagi kelmarin di kawasan Lebuh Chulia.

”Satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki warganegara asing berumur 40 tahun di Balai Polis Central, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang berkaitan insiden tersebut.

”Mangsa mendakwa telah diserang oleh seorang lelaki dengan menggunakan botol minuman hingga menyebabkan beliau mendapat kecederaan luka di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menerusi video tular itu, dua lelaki dilihat bertumbuk dan bergaduh di hadapan sebuah restoran sambil cuba dileraikan oleh beberapa orang awam.

Menurut Soffian, suspek berasal dari Negeri Sembilan dan bekerja sebagai juruteknik di Pulau Pinang. 

”Suspek tiada rekod kesalahan lampau dan hasil ujian awal polis ke atasnya juga mendapati negatif sebarang jenis dadah.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati punca kejadian adalah disebabkan mabuk dan berlaku pertengkaran mulut setelah suspek menegur pengadu secara kasar,” katanya.

Tambahnya, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 17 Jun ini  untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN