TUMPAT: Perbuatan keji bapa kandung yang melakukan sumbang mahram terhadap anak kandungnya sejak tiga tahun lalu akhirnya ditahan dalam kejadian di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, pada awalnya suspek berusia 57 tahun ditangkap pukul 3 petang semalam bersangkut kes 324 Kanun Keseksaan di Wakaf Bharu, di sini.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan kejadian yang menimpa mangsa berusia 15 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat kira-kira pukul 11.09 pagi semalam.
“Berdasarkan keterangan, suspek datang ke bilik mangsa kira-kira pukul 12 tengah malam, Khamis lalu sebelum memaksa remaja itu untuk melakukan hubungan seks.
“Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di Kota Bharu dipercayai telah dirogol bapanya itu sejak berusia 12 tahun.
“Mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dan pemeriksaan mendapati ada kesan koyakan lama pada kemaluan remaja itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkait kes dadah dan ujian saringan air kencing mendapati negatif dadah.
Tambahnya, suspek direman selama tiga hari bermula hari ini untuk kes pukul dan akan ditahan semula bagi membantu siasatan kes rogol anaknya mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan. –UTUSAN ONLINE











