Perak ambil iktibar kejadian tahanan depot Imigresen lolos - Utusan Malaysia

Perak ambil iktibar kejadian tahanan depot Imigresen lolos

SAARANI Mohamad (kanan) bersama pasukan beruniform yang menerima kuih raya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kejadian tahanan warga asing yang meloloskan diri di Depot Sementara Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang awal pagi tadi tidak mustahil berlaku di negeri ini sekiranya semua pihak tidak mengambil iktibar atas kejadian berkenaan. 

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Perak juga mempunyai sebuah Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Langkap, Teluk Intan. 

Menurutnya, walaupun depot tahanan tersebut bukan di bawah seliaan kerajaan negeri, langkah-langkah keselamatan tetap perlu diambil bagi memastikan tiada tahanan yang keluar terutamanya oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN). 

“Sudah tentu saya harap kejadian yang berlaku di Pulau Pinang itu, kita ambil iktibar dan pihak yang bertanggungjawab di depot tahanan di Langkap ini di bawah KDN. 

“Saya harap mereka mengambil langkah-langkah perlu, sebab apa yang berlaku di Pulau Pinang itu tidak mustahil boleh berlaku di Langkap (depot tahanan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas penyerahan juadah Hari Raya kepada pasukan beruniform di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menurut Saarani, mereka yang di dalam tahanan sentiasa kreatif dalam mencari jalan untuk melarikan diri dan sekiranya berjaya, ia merupakan kepuasan serta kejayaan kepada mereka. 

“Jadi, sudah tentu saya yakin pihak berkuasa yang menjaga dan mengawasi depot tahanan di Langkap mengambil iktibar yang berlaku di Pulau Pinang.

“Kita harus ingat mereka dalam tahanan sentiasa mencari ruang dan peluang bila mana kita cuai dan alpa, mereka perhati apa penguasa buat. Harapnya janganlah tahanan lolos keluar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN