PETALING JAYA: Polis menahan lima lelaki apabila disyaki terlibat dalam pemberian pinjaman wang tanpa lesen, di sebuah bangunan di Kelana Jaya, di sini kelmarin.
Kesemua suspek berusia 18 hingga 24 tahun itu ditahan menerusi Ops Vulture oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya kira-kira pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, serbuan dijalankan susulan pihaknya menerima aduan daripada seorang warga tempatan berusia 46 tahun yang merupakan seorang pengarah syarikat swasta.
Menurut beliau, pengadu yang mempunyai masalah kewangan dalam membuat pusingan modal perniagaan sebelum ini telah membuat pinjaman dengan beberapa syarikat dalam talian tanpa menyedari syarikat berkenaan adalah sindiket pemberi pinjaman tidak berlesen.
“Pengadu telah meminjam sebanyak RM96,240 dan telah membuat pembayaran balik sebanyak RM100,895.
“Bagaimanapun, mangsa telah didesak dengan pelbagai ugutan supaya membayar balik bayaran pokok sebanyak RM72,000,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut Mohamad Fakhrudin, mangsa kemudiannya dihubungi oleh sindiket yang memperkenalkan diri daripada syarikat pinjaman wang berlesen telah membuat tawaran kepadanya untuk melangsaikan bayaran tertunggak tersebut.
Ujar beliau, mangsa dalam keadaan terdesak dan takut telah menandatangani satu perjanjian peminjam wang untuk menyelesaikan pinjaman yang tertunggak dan pengadu perlu membayar balik sebanyak RM120,000.
“Akibat tidak mampu membayar, suspek telah menghantar orang ke rumah ibu mangsa malah telah diugut setiap hari oleh sindiket tersebut.
“Semakan mendapati tiga daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua mereka direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesan 1952.- UTUSAN