Finas siasat dakwaan ‘lubuk rasuah’, dapatkan kerjasama Murali jika perlu - Utusan Malaysia

Finas siasat dakwaan ‘lubuk rasuah’, dapatkan kerjasama Murali jika perlu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memandang serius setiap laporan serta aduan orang awam berhubung dakwaan ketidaktelusan dalam proses pengagihan dana yang disalurkan kepada penggiat industri kreatif.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, siasatan awal telah dimulakan sebaik sahaja pihaknya dimaklumkan mengenai kenyataan yang dikongsikan oleh pengarah filem, Murali Abdullah, berhubung dakwaan terdapat individu menerima dana berjumlah RM60,000 bagi projek yang diluluskan tanpa penilaian berasaskan merit atau profesionalisme.

Menurut beliau, dakwaan tersebut turut mendapat perhatian serius Lembaga Pengarah Finas kerana melibatkan reputasi dan kredibiliti agensi berkenaan.

“Finas kini sedang bergerak ke arah matlamat yang lebih besar dan penting untuk kami membina semula kepercayaan masyarakat serta penggiat industri terhadap tadbir urus dan operasi kami.

“Kami maklum akan dakwaan yang dikongsikan oleh Murali dan Lembaga Pengarah telah mengarahkan pihak pengurusan menjalankan siasatan dalaman bagi mendapatkan fakta sebenar.

“Sekiranya perlu, pihak kami juga akan mendapatkan kerjasama Murali sepanjang proses siasatan ini dijalankan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Azmir menegaskan, Finas tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu dalaman dan sedang melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan termasuk penstrukturan organisasi, pelantikan pegawai serta penambahbaikan kaedah kerja agar lebih berkesan dan telus.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Finas pernah melaksanakan program latihan dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2021 susulan penularan pandemik COVID-19.

“Ketika itu, seramai kira-kira 300 individu dan syarikat menerima dana latihan dalam talian dengan jumlah peruntukan antara RM15,000 hingga RM30,000.

“Dana tersebut disalurkan bagi membantu penggiat industri kreatif yang terjejas akibat pandemik. Setakat semakan dibuat, kami tidak menemui sebarang rekod penerima dana berjumlah RM60,000 seperti yang didakwa,” jelasnya.

Terdahulu, Murali Abdullah menerusi satu kenyataan mendakwa Finas sebagai ‘lubuk rasuah’ susulan dakwaan seorang penerbit terkenal menerima kelulusan dana RM60,000 bagi projek kelas perfileman secara dalam talian.

Murali turut mempersoalkan jumlah peruntukan tersebut yang disifatkan terlalu besar memandangkan kos sebenar untuk melaksanakan kelas perfileman dalam talian dianggarkan tidak melebihi RM2,000. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN