Jual tanah lapangan terbang, SPRM belum panggil MB Perak - Utusan Malaysia

Jual tanah lapangan terbang, SPRM belum panggil MB Perak

SAARANI Mohamad (dua dari kanan) mendengar aduan rakyat pada program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad belum dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penjualan tanah lapangan terbang Seri Iskandar di Perak Tengah.

Menurut Saarani, jika beliau dipanggil mungkin atas kapasiti sebagai menteri besar dan pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) ketika ini.

Beliau berkata, siasatan juga mungkin tidak akan melibatkan Exco kerajaan negeri ketika ini.

“Saya tak fikir Exco lain terlibat kerana tanah itu milik PKNP, jadi mungkin yang akan dipanggil pengerusi dan ketua pegawai eksekutif PKNP ketika itu.

“Mungkin saya akan dipanggil sebab saya menteri besar sekarang dan pengerusi PKNP,” kata beliau ditemui selepas program Hari Bersama Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad yang memberitahu,  beberapa saksi akan dipanggil membantu siasatan kes penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar.

Mengenai dakwaan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman yang berkata,  penjualan tanah itu di bawah harga pasaran, Saarani memaklumkan, perkara itu tidak dapat dipastikan.

“Sebarang penjualan atau pajakan tanah sepatutnya dirujuk dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH),” katanya.

Semalam, Saarani berkata, Hamidah tidak membuat kajian teliti berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar itu kerana mendakwa tanah tersebut belum dijual.

Saarani berkata, pindah milik tanah itu belum dibuat kerana pembeli belum membayar penuh harga jualan tanah itu kepada PKNP. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN