Angkut 10 warga Myanmar dalam Proton Waja - Utusan Malaysia

Angkut 10 warga Myanmar dalam Proton Waja

DUA PATI warga Myanmar yang bersembunyi dalam but kereta dicekup dalam serbuan di jalan pintasan Pasir Mas, Kelantan hari ini. - Ihsan PGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Tindakan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berhimpit-himpit dalam sebuah kereta untuk masuk ke negara ini tidak berbaloi apabila mereka ditahan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan, awal pagi ini.

Kereta jenis Proton Waja dipandu seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai tekong darat itu ditahan di jalan pintasan Pasir Mas, di sini kira-kira pukul 3 pagi.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Superintendan Azhari Nusi berkata, hasil pemeriksaan dilakukan telah menemukan lapan penumpang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita berada di dalam kereta tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut dalam but kereta itu pula membawa kepada penemuan dua lagi lelaki yang bersembunyi di bahagian tersebut.

“Kita mendapati tujuh daripada 10 PATI itu tidak mempunyai pengesahan masuk ke negara ini, selebihnya pula gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua PATI termasuk tekong darat warga tempatan serta kenderaan terbabit dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN