MELAKA: Polis memburu seorang lelaki dipercayai cuba merompak sebuah kedai emas dengan memecahkan cermin kaca kaunter dalam kejadian di Jalan Bunga Raya, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.23 pagi apabila suspek berusia 20-an masuk ke premis berkenaan dengan membawa spanar.
Katanya, suspek kemudian bertindak menghentak alatan tersebut ke cermin kaca kaunter dipercayai cuba untuk melarikan barang kemas yang diletakkan di ruang kaca pameran.
“Bagaimanapun, hentakkan sebanyak empat hingga lima kali itu disedari oleh pemilik premis berkenaan yang berusia 30-an.
“Suspek hanya berjaya memecahkan lapisan pertama cermin sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semakan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, suspek berada di hadapan premis itu agak lama sebelum bertindak.
“Kita percaya suspek merupakan perompak amatur kerana dia seperti teragak-agak untuk melakukan rompakan.
“Setakat ini, pemilik kedai menganggarkan kerugian terpaksa ditanggung akibat kerosakan cermin adalah kira-kira RM10,000,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak. –UTUSAN ONLINE